Sabtu, 18 April 2015

HADIAH DARI LAUT

Belajarlah dari lautan!

Subhanallah, Sungguh tenang mentadabbur keindahan ciptaanNya. !


Kala aku di persisiran bersendirian
Meratib zikir mengukir senyuman
Kutemui sebuah ketenangan
Di situ aku beroleh pelajaran
Tidak terjangkau dek akal fikiran

Saat dilempar sampah bahkan bangkai
Kebosanan laut tidak berkunjung 
Memberi nelayan secicip rezeki
Menghadiahi penyelam mutiara
Dan pemandangan nian indah

Mampukah aku menjadi seperti laut
Dilontar tuba dibalas madu


180415
Taman Ilmu dan Budi, PJ


Selasa, 24 Mac 2015

BELAHAN JIWAKU





Dia memang bukan sesiapa untukmu
Cuma lelaki separuh baya
Berusaha hidup baik di kelasnya
Tetapi buatku
Dia lelaki terbaik pernah kutemu
Berjiwa muda walau dimamah usia
Setiap butir bicaranya bak mutiara di dasar lautan
Jenaka hambarnya mencuit hati 
Bahagianya adalah bahagiaku
Tangisnya adalah deritaku
Kerana dia ialah 
PAHLAWANKU





Wanita itupun buatmu pastinya bukan sesiapa
Hanya seorang wanita biasa
Sederhana dalam pakaiannya
Matang pemikirannya
Tertib pergaulannya
Tetapi buatku
Dia adalah lautan kala aku anak sungai
Tempat kembali takala aku memerlukan tempat pulang
Keselamatanku ada pada doanya
Bahagiaku ada dalam keredhaannya
Di matanya ada telaga
 Tempat aku berenang mencari kasihnya
Ya dialah
PERMAISURI HATIKU



"Ya Rabbi, aku memohon kepadamu 
 peliharalah belahan jiwaku ini kerana aku sangat menyayangi mereka"



Qalam Muhajir
Taman Ilmu dan Budi
240315


Isnin, 23 Februari 2015

Kerana DUIT






Duit
Kerana duit mereka bahagia
Kerana duit mereka aman sejahtera
Kerana duit mereka berjaya
Kerana duit mereka jutawan kaya
Duit
Kerana duit manusia alpa
Kerana duit harga diri diperaga
Kerana duit rasuah berleluasa
Kerana duit umat merana
Hakikatnya
Duit bukanlah segalanya
Kerana Tuhan tujuan utama


Qalam Muhajir
240215
0113 a.m.
Taman Ilmu dan Budi

Selasa, 17 Februari 2015

Qalam Al-Rasas

Kelas Maharat Al-Tafkir hari ini berjaya menggugurkan air mataku.
Walaupun ustazah menyampaikan ilmu sepenuhnya dalam Bahasa Al-Quran tetapi qalbuku benar-benar cuba memahami dan menghayati setiap butir bicaranya memandangkan ustazah diimport asli dari Hobron, Palestin.
Setelah sesi taaruf selesai, beliau memulakan bicaranya dengan mengajak anak-anak didiknya untuk melayari bahtera pemikiran.

Ustazah: “ Al-an indi al-as ilah. Ma al-istihdam haza qalam ar-rasas?( Sekarang, saya ada soalan. Apakah kegunaan pensil ini?)

At-Tullab: “Lil rusum, lil kitabah, lil qiraat al-kutub”. ( Untuk melukis, untuk menulis, untuk membaca buku2)

Ya, sakit otak ni bila berfikir bermacam-macam tetapi hebatnya ustazah yang berjaya membawa kami ke bahtera itu dengan analogi sebuah pensil. Memang aku telah didedahkan dengan sifat sebatang pensil dari sekolah rendah lagi. Tayangan video siap edaran kertas kot. Tapi almaklumlah, waktu itu zaman kanak-kanak ribena untuk berkejaran, bermain baling selipar setiap petang dan kematangan pun belum kunjung tiba.
Sedang asyik mendengar penerangan ustazah, tiba-tiba takungan air mataku pecah lalu tanpa sengaja jatuh membasahi jilbabku.
*buka spect, gosok mata*

            “ Ana urid minkum an ta’lamu mutamayyizat haza qalam ar-rasas”. ( Saya mahu dari kamu semua untuk mempelajari keistimewaan yang ada pada pensil ini.)


Maka, ustazah menyebutkan keistimewaannya satu per satu ibarat seorang ibu sedang menasihati anaknya.

Pertama :  Pensil ini mengingatkan jika kamu boleh membuat sesuatu yang hebat dalam hidup ini. Jangan lupa, ibarat pensil, ada tangan yang memegangnya. Maka, ingatlah akan adanya kuasa yang membimbing langkah hidupmu iaitu Allah SWT. Dia akan selalu membimbing kita menurut kehendaknya.

Kedua :  Ketika menulis kerap sekali pensil menjadi tumpul. Kau terpaksa berhenti untuk mengasahnya. Pensil ini pasti menderita ketika diasah, tetapi hasilnya ia menjadi tajam dan cantik tulisannya. Begitu juga akan berlaku dalam hidup kamu. Kamu mesti berani menempuh kesusahan walaupun penuh keperitan kerana ia menjadi baja untuk dirimu menjadi lebih baik.

Ketiga :  Pensil ini akan menghasilkan tulisan yang salah. Namun kita boleh memadamkan dan membetulkan tulisan ini semula. Begitu juga kita, sentiasalah memperbaiki kesalahan dalam kehidupan. Ia bukanlah sesuatu kehinaan kerana dengan memperbaiki kesalahan, kita akan sentiasa berada di jalan yang benar.

Keempat :  Tahukah kamu mana yang lebih penting, luar atau isi pensil ini? Sudah tentu arang atau karbon di dalamnya. Oleh itu, berhati-hatilah dengan apa yang tidak baik dalam diri kamu itu dan hindarilah.

Kelima :  Pensil ini selalu meninggalkan tanda atau goresan. Begitu juga kamu, apa sahaja yang kamu buat, pasti akan meninggalkan kesannya pada diri atau pada orang lain. Ustazah harap kamu akan selalu berhati-hati dan bijak dalam bertindak.

Ya, mungkin kamu lihat biasa2 sahaja sebatang pensil ini. Tetapi tahukah tanpa sebatang pensil ini tidak akan terhasilnya lakaran binaan seorang arkitek untuk penghasilan sebuah rumah bertingkat-tingkat?
Kini, aku sedar bahawa sebatang pensil itu amat berharga bagiku. Selayaknya aku menjadi seperti pensil yang sentiasa memberi manfaat kepada insan dan mengingatkan diri kepada Tuhan.

Kata Ustazah yang sentiasa tersemat di jiwa ini :

كل منَا قلم الرصاص
لقد تم صنعك من أجل أهداف عظيمة


Qalam El Muhajir
100215
Taman Ilmu dan Budi

PEJUANG PANJI ISLAM - (Tunas Cipta, Mei 2014)



Saban hari
Kumelihat anak muda
Semakin asyik dan alpa
Di atas pentas dunia
Berkiblatkan budaya asing
Yang penuh helah dan tipu daya

Duhai pejuang panji Islam
Dunia hari ini amat memerlukanmu
Lebih-lebih lagi era teknologi
Ibarat cendawan tumbuh selepas hujan
Demi menyelamatkan jiwa anak muda
Daripada berterusan mati berkarat

Ayuh bangkitlah
Dari lena yang panjang
Tingginya Islam itu
Tiada yang lebih tinggi daripadanya
Maka 
Sedarlah engkau
Pejuang panji Islam
Dulu kini dan selamanya


Qalam Muhajir
170215

Tanjung Piai Resort